Saturday, March 25, 2006

Adat Perkahwinan Masyarakat Cina Bhg.2

Part 2

Pada pagi hari perkahwinan, upacara menghias rambut akan dijalankan ke atas pengantin perempuan. Wanita yang dianggap mempunyai nasib yang baik akan datang untuk menolong menghias rambut pengantin perempuan bersama-sama wanita yang masih mempunyai ibubapa, suami isteri dan anak-anak mereka. Wanita-wanita ini akan mengucapkan kata-kata yang baik ketika mengikat sanggul pengantin perempuan dalam cara wanita yang sudah berumah tangga.



Upacara menutup pengantin lelaki


Upacara menutup pengantin lelaki akan dilakukan di rumah keluarga pengantin lelaki di mana bapa pengantin akan meletakkan topi yang dihias dengan daun pokok saru di atas kepala pengantin lelaki. Pengantin lelaki tersebut akan membawa tandu yang mana kebanyakan masyarakat Cina hari ini lebih cenderung untuk memilih kereta mewah bersama sekumpulan saudara-mara dan kawan untuk menjemput pengantin perempuan.

Permainan Pintu


Permainan Pintu berasal daripada zaman nenek moyang masyarakat Cina yang menggambarkan bahawa pengantin perempuan merupakan wanita yang cantik dan keluarga serta kawan-kawannya tidak sanggup berpisah dengannya. Pengantin lelaki akan dihalang oleh pintu rumah pengantin perempuan dan kawan pengantin perempuan ini akan berusaha menghalang pengantin lelaki daripada memasuki rumah dengan mengajukan beberapa soalan berkenaan pengantin perempuan. Ini bertujuan untuk menduga sejauh mana pengantin lelaki menyayangi pengantin perempuan tersebut. Manakala pihak lelaki akan cuba membayar pihak perempuan dengan memberikan Li Shi iaitu duit tanda yang dibalut dengan sampul bewarna merah untuk mempertemukan pasangan terbabit.




Upacara Minum Teh


Pengapit perempuan akan membawa payung merah untuk melindungi pengantin perempuan ke tandu pengantin lelaki. Saudara-mara pengantin akan melontar beras, kacang merah dan kacang hijau ke arahnya. Payung merah tersebut akan melindunginya daripada roh jahat, manakala beras dan kacang akan menarik perhatian ayam emas yang membawa tuah. Setelah pengantin perempuan tiba di rumah pengantin lelaki, bunga api dan muzik dengan bunyi gong dan drum akan dimainkan untuk menyambut ketibaannya. Pengantin perempuan akan melangkah di atas besen besi yang mempunyai colok yang menyala. Ia merupakan upacara untuk membawa kebahagiaan dan menjauhkan roh-roh jahat. Ketika di rumah pihak lelaki, pasangan pengantin tersebut akan melutut sebanyak tiga kali kepada syurga dan bumi, nenek moyang dan ibubapa mereka. Pasangan terbabit akan tunduk antara satu sama lain dan selepas itu, pengantin perempuan akan memberikan minuman teh kepada keluarga dan saudara-mara mengikut pangkat. Kebiasaanya, mereka yang menerima minuman teh akan memberikan hadiah berbentuk barang kemas atau Li Shi kepada pengantin perempuan.




Makanan Perkahwinan dan kek


Beberapa jenis makanan akan dihidangkan di majlis perkahwinan masyarakat Cina yang membawa maksud yang tertentu seperti ikan yang melambangkan kekayaan, anak babi panggang yang melambangkan kesucian, ayam yang dimasak dengan minyak merah melambangkan kebahagiaan, udang galah bererti keserasian dan juga pau. Manakala "kek kebahagiaan" yang juga dikenali sebagai kek naga dan burung phoenix akan diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan untuk dipersembahkan beberapa bahagian daripada kek tersebut untuk tujuan memuja nenek moyang dan diagihkan kepada saudara dan rakan-rakan.



Pada malam perkahwinan, pasangan pengantin berkenaan akan meminum arak daripada dua cawan yang diikat bersama oleh tali bewarna merah dan menyilangkan tangan sesama mereka. Mengikut kebudayaan masyarakat Cina, perbuatan ini merupakan ikatan janji perkahwinan yang biasa dilakukan ketika perkahwinan. Kemudian, pengantin perempuan akan diberikan ladu separuh masak dan akan ditanya sama ada ia ladu tersebut mentah. Pengantin perempuan haruslah menjawab "mentah" melambangkan dia akan melahirkan anak dan menunjukkan keluarga yang bahagia.



Sehari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan seharusnya bangun lebih awal dan menyediakan makanan untuk keluarga pengantin lelaki. Ini akan menggambarkan pengantin berkenaan diasuh dengan baik dan layak untuk menjadi isteri kepada pengantin lelaki.



Tiga hari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan akan pulang melawat keluarganya bersama-sama suaminya. Pengantin lelaki akan mempersembahkan anak babi panggang kepada keluarga pengantin perempuan simbolik kepada kesucian, menggambarkan kesucian pengantin perempuan. Keluarga pengantin perempuan akan mengagihkan makanan berkenaan kepada saudara-mara dan jiran-jirannya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home