Sunday, March 26, 2006

Perkahwinan Masyarakat Cina Bhg.1

In my family, we do have few of my aunts/uncles/cousins (even myself) who married to chinese. So, haf a read! Even so, we or I shall say on behalf my own experience, didnt even followed any of this.. Ours was the modern way + a lil bit of the tatana's culture.

Perkahwinan Masyarakat Cina Bhg.1

ADAT SEBELUM PERKAHWINAN

Mengikut kebudayaan Cina, perkahwinan merupakan penyatuan antara dua buah keluarga. Setelah bakal pengantin lelaki dan perempuan mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan, kedua-dua keluarga akan menyertainya.

Pada hari pertunangan, keluarga pihak lelaki akan memberikan "Hadiah Besar" kepada pihak keluarga perempuan. Ini adalah upacara formal bagi kedua-dua keluarga untuk mengiktiraf secara rasmi dan memberikan tanda persetujuan mereka terhadap perkahwinan yang bakal berlangsung.

"Hadiah Besar" yang diberikan ketika lamaran ini kebiasannya merupakan duit penanda yang dibalut dengan sampul bewarna merah dan beberapa barangan lain termasuk teh, "kek menambah kebahagiaan", sepasang binatang ternakan, manisan dan gula, arak serta tembakau. Duit penanda yang diberikan kebiasaannya berjumlah $99 atau $999 kerana nombor sembilan pada masyarakat Cina memberi erti berpanjangan. Teh merupakan hadiah yang paling penting kerana kedua-dua keluarga mendoakan pasangan terbabit mendapat keturunan yang ramai sebagaimana daun teh yang diberikan. Keseluruhan hadiah yang diberikan mestilah mempunyai nilai yang sama.

Keluarga pengantin perempuan akan mengagihkan "kek menambah kebahagiaan" kepada saudara-mara dan kawan-kawan mereka sebagai satu bentuk pengumuman. Namun, pada hari ini kedua-dua keluarga akan mengagihkan kek terbabit bersama-sama jemputan perkahwinan. Setelah itu, kedua-dua keluarga akan menumpukan kepada majlis perkahwinan yang bakal berlangsung.

Beberapa hari sebelum hari perkahwinan, keluarga pengantin perempuan akan menghantar hantaran kepada keluarga pengantin lelaki atau rumah baru pasangan terbabit. Hantaran mestilah berbentuk keperluan harian untuk rumah baru pengantin seperti peralatan tempat tidur, kain linen dan set meja makan dan sebagainya. Ini merupakan peluang kepada keluarga pengantin perempuan untuk menunjukkan kasih sayang dan kekayaan mereka kepada anak mereka.

Keluarga pengantin lelaki akan menjemput saudara-mara terdekat atau kawan untuk ke set katil pengantin di rumah baru tersebut. Di sebahagian tempat di China pada masa dahulu, budak lelaki yang belum berkahwin akan dijemput untuk tidur di atas katil pengantin pada malam sebelum hari perkahwinan bagi membawa kesuburan kepada pasangan yang baru berkahwin.


KELENGKAPAN PERKAHWINAN

Baju Pengantin - Kebiasaannya warna merah dipilih bagi menggambarkan nasib yang baik. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, warna yang terang boleh menghalau roh-roh jahat daripada mendekati mereka. Pakaian tradisional pengantin di Utara China kebiasaannya berbentuk jubah yang dikenali Qi Pao. Pakaian ini akan disulam dengan benang emas dan perak. Pakaian pengantin perempuan di Selatan China pula memakai pakaian dua bahagian yang dikenali Qun Gua, Kwa atau Cheongsam yang juga disulam dengan jahitan berbentuk naga dan burung Pheonix. Pada masa dahulu, tudung bewarna merah akan dipakai oleh pengantin perempuan untuk menutupi mukanya sepanjang majlis perkahwinan berlangsung. Pengantin baru ini hanya akan melihat satu sama lain untuk kali pertama pada malam perkahwinan tersebut.

Lilin Naga dan Pheonix - Lilin bewarna merah yang diukir menyerupai naga dan burung Phoenix digunakan pada hari perkahwinan adalah untuk melambangkan penyatuan terhadap keluarga baru. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, lilin ini akan digunakan pada malam perkahwinan bagi menghalau roh-roh jahat dengan cahayanya. Cahaya lilin ini turut menambahkan suasana romantik bagi pasangan pengantin berkenaan.

Tandatangan Kain - Kain ini akan dibentangkan di atas meja di pintu masuk, di mana tetamu akan menandatangan nama mereka dan menulis restu mereka. Kain yang disulam ini akan disimpan oleh pasangan pengantin sebagai kenangan seperti juga bunga dan baju pengantin.

Tanda Kebahagiaan dan Sampul Merah - Tanda Kebahagian merupakan hiasan paling penting dalam majlis perkahwinan masyarakat Cina. Kebanyakannya diukir pada serpihan logam atau kertas dan kemudiannya akan ditampal pada pintu masuk rumah kedua-dua keluarga dan juga dibahagian meja jemputan. Potongan kecil tanda kebahagian ini turut dilekatkan pada kenderaan pengantin. Sampul merah akan digunakan pada setiap perayaan masyarakat Cina seperti majlis perkahwinan, Tahun Baru Cina dan sebagainya.


PANTANG LARANG PERKAHWINAN

Pada pertemuan semasa pertunangan, keluarga pengantin lelaki akan mempersembahkan seekor angsa hidup kepada keluarga pengantin perempuan. Walau bagaimanapun, keluarga pengantin perempuan tidak boleh membunuh angsa tersebut kerana ia mewakili pengantin perempuan berkenaan. Jika angsa tersebut tidak mengeluarkan bunyi bising ketika diserahkan kepada keluarga pengantin perempuan, ia menunjukkan bahawa pengantin lelaki mempunyai personaliti yang baik dan menarik. Jika sebaliknya, ia menunjukkan pengantin berkenaan mudah marah. Keluarga perempuan akan membiarkan angsa tersebut di kawasan tasik atau kolam di mana ia akan membesar dengan sendirinya.

Ketika pengantin lelaki datang untuk menjemput pengantin perempuan, kawan-kawan pengantin perempuan akan cuba menghalang pihak lelaki daripada memasuki bilik pengantin pada pagi hari perkahwinan tersebut. Ia merupakan satu permainan yang dikenali sebagai "Permainan Pintu Perkahwinan". Walau bagaimanapun pihak pengantin perempuan perlu memperuntukkan masa tertentu kerana upacara di rumah pengantin lelaki harus berjalan seperti yang telah dijadualkan.

Apabila pengantin perempuan meninggalkan rumahnya dan menuju ke kenderaan pihak lelaki, dia harus memakai kasut yang biasa dipakainya kerana ia menggambarkan bahawa pengantin perempuan berkenaan tidak membawa sesuatu bersamanya walaupun nasib baik ibu bapanya.

Apabila pengantin perempuan memasuki rumah pengantin lelaki, mentua dan kakak iparnya tidak seharusnya mengadap pintu memerhatikan pengantin perempuan masuk. Ini menurut kepercayaan masyarakat Cina bagi menghalang sebarang pertelingkahan pada masa akan datang. Selain itu, wanita yang mengandung dan orang yang baru kematian saudara-mara tidak boleh terlibat dengan majlis perkahwinan atau menyentuh pakaian pasangan pengantin dan sebagainya di rumah baru pasangan tersebut. Ini untuk mengelakkan sebarang perkara buruk daripada berlaku.

Saturday, March 25, 2006

Adat Perkahwinan Masyarakat Cina Bhg.2

Part 2

Pada pagi hari perkahwinan, upacara menghias rambut akan dijalankan ke atas pengantin perempuan. Wanita yang dianggap mempunyai nasib yang baik akan datang untuk menolong menghias rambut pengantin perempuan bersama-sama wanita yang masih mempunyai ibubapa, suami isteri dan anak-anak mereka. Wanita-wanita ini akan mengucapkan kata-kata yang baik ketika mengikat sanggul pengantin perempuan dalam cara wanita yang sudah berumah tangga.



Upacara menutup pengantin lelaki


Upacara menutup pengantin lelaki akan dilakukan di rumah keluarga pengantin lelaki di mana bapa pengantin akan meletakkan topi yang dihias dengan daun pokok saru di atas kepala pengantin lelaki. Pengantin lelaki tersebut akan membawa tandu yang mana kebanyakan masyarakat Cina hari ini lebih cenderung untuk memilih kereta mewah bersama sekumpulan saudara-mara dan kawan untuk menjemput pengantin perempuan.

Permainan Pintu


Permainan Pintu berasal daripada zaman nenek moyang masyarakat Cina yang menggambarkan bahawa pengantin perempuan merupakan wanita yang cantik dan keluarga serta kawan-kawannya tidak sanggup berpisah dengannya. Pengantin lelaki akan dihalang oleh pintu rumah pengantin perempuan dan kawan pengantin perempuan ini akan berusaha menghalang pengantin lelaki daripada memasuki rumah dengan mengajukan beberapa soalan berkenaan pengantin perempuan. Ini bertujuan untuk menduga sejauh mana pengantin lelaki menyayangi pengantin perempuan tersebut. Manakala pihak lelaki akan cuba membayar pihak perempuan dengan memberikan Li Shi iaitu duit tanda yang dibalut dengan sampul bewarna merah untuk mempertemukan pasangan terbabit.




Upacara Minum Teh


Pengapit perempuan akan membawa payung merah untuk melindungi pengantin perempuan ke tandu pengantin lelaki. Saudara-mara pengantin akan melontar beras, kacang merah dan kacang hijau ke arahnya. Payung merah tersebut akan melindunginya daripada roh jahat, manakala beras dan kacang akan menarik perhatian ayam emas yang membawa tuah. Setelah pengantin perempuan tiba di rumah pengantin lelaki, bunga api dan muzik dengan bunyi gong dan drum akan dimainkan untuk menyambut ketibaannya. Pengantin perempuan akan melangkah di atas besen besi yang mempunyai colok yang menyala. Ia merupakan upacara untuk membawa kebahagiaan dan menjauhkan roh-roh jahat. Ketika di rumah pihak lelaki, pasangan pengantin tersebut akan melutut sebanyak tiga kali kepada syurga dan bumi, nenek moyang dan ibubapa mereka. Pasangan terbabit akan tunduk antara satu sama lain dan selepas itu, pengantin perempuan akan memberikan minuman teh kepada keluarga dan saudara-mara mengikut pangkat. Kebiasaanya, mereka yang menerima minuman teh akan memberikan hadiah berbentuk barang kemas atau Li Shi kepada pengantin perempuan.




Makanan Perkahwinan dan kek


Beberapa jenis makanan akan dihidangkan di majlis perkahwinan masyarakat Cina yang membawa maksud yang tertentu seperti ikan yang melambangkan kekayaan, anak babi panggang yang melambangkan kesucian, ayam yang dimasak dengan minyak merah melambangkan kebahagiaan, udang galah bererti keserasian dan juga pau. Manakala "kek kebahagiaan" yang juga dikenali sebagai kek naga dan burung phoenix akan diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan untuk dipersembahkan beberapa bahagian daripada kek tersebut untuk tujuan memuja nenek moyang dan diagihkan kepada saudara dan rakan-rakan.



Pada malam perkahwinan, pasangan pengantin berkenaan akan meminum arak daripada dua cawan yang diikat bersama oleh tali bewarna merah dan menyilangkan tangan sesama mereka. Mengikut kebudayaan masyarakat Cina, perbuatan ini merupakan ikatan janji perkahwinan yang biasa dilakukan ketika perkahwinan. Kemudian, pengantin perempuan akan diberikan ladu separuh masak dan akan ditanya sama ada ia ladu tersebut mentah. Pengantin perempuan haruslah menjawab "mentah" melambangkan dia akan melahirkan anak dan menunjukkan keluarga yang bahagia.



Sehari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan seharusnya bangun lebih awal dan menyediakan makanan untuk keluarga pengantin lelaki. Ini akan menggambarkan pengantin berkenaan diasuh dengan baik dan layak untuk menjadi isteri kepada pengantin lelaki.



Tiga hari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan akan pulang melawat keluarganya bersama-sama suaminya. Pengantin lelaki akan mempersembahkan anak babi panggang kepada keluarga pengantin perempuan simbolik kepada kesucian, menggambarkan kesucian pengantin perempuan. Keluarga pengantin perempuan akan mengagihkan makanan berkenaan kepada saudara-mara dan jiran-jirannya.

Adat Perkahwinan suku kaum Tatana Daerah Kuala Penyu

Adat adalah satu adat turun temurun tidak boleh direka-reka oleh masyarakat adat mestilah berterusab tidak putus-putus dari satu keturunan hingga kepada keturunan yang lain adat dihormati dan diamalkan oleh suku kaum empunya adat. Ketua adat mempunyai kuasa mengenakan hukuman keatas sesiapa yang melanggar adat. Disini dipaparkan sebahagian daripada adat istiadat suku kaum Tatana Daerah Kuala Penyu yang amna dipetik dari Titian Adat Istiadat Suku Kaum Kadazan Tatana Kuala Penyu.

Adat istiadat perkahwinan

Adat perkahwinan adalah mengikut tradisi dengan syarat-syarat seperti berikut:

Apabila seorang teruna ingin berkahwin maka dari pilihan itu adalah juga perlu dipersetujui oleh kedua-kedua ibubapa lelaki sebab merekalah yang akan mengatur segala persediaan perkahwinan anak mereka.

Pertunangan

Dalam pertunangan biasanya seorang tua digunakan sebagai orang tengah dinamakan "SUSURUAN" bagi pihak lelaki datang kerumah perempuan biasanya dalam hari yang baik pada hari Selasa, Khamis atau Sabtu. Pihak perempuan diberi masa untuk berunding dan masa bila "SUSURUAN" kembali ditentukan samaada pinangan pihak lelaki diterima atau tidak. Jika pinangan diterima maka "SUSURUAN" dijemput minum dan makan oleh keluarga pihak perempuan. Jika pinangan ditolak maka makan dan minum tidak dilayankan.

Tarikh pertunangan

Tarikh pertunangan ditetapkan mengikut persetujuan kedua-dua pihak. mereka memilih hari yang baik untuk bertunang, seperti hari-hari yang bukan bilangan ganjil dan juga dalam bulan yang baik.

Perbelanjaan bertunang adalah memandangkan kedudukan keturunan siperempuan. Jika dia anak perempuan tua (sulung) dari orang yang berkemampuan maka pertunangan dilangsungkan dengan upacara penuh isitiadat.

Jika keturunan ibu perempuan ada permintaan kerbau waktu bertunang maka anaknya mesti menuntut sama.

Permintaan pertunangan adalah seperti:

Seekor kerbau atau babi
Kain sepasang
Sebentuk cincin emas
Gelang emas
Wang belanja dapur (kadar mengikut berapa yang patut)
Wang talak sebanyak RM500.00 (lima ratus ringgit) dibayar
Perbelanjaan pertunangan ditanggung oleh lelaki, setelah pasangan bertunang mereka tidak boleh membuat hubungan sebelum berkahwin. Siperempuan tidak boleh sesuka hati pergi kemana-mana kecuali diizinkan oleh tunangnya sekiranya perempuan ingkar dari pertunangan mereka, maka dia didenda mengembalikan semua perbelanjaan waktu bertunang, jika lelaki ingkar maka belanja pertunangan dikira hangus.

Kotoliban/Sepangadak

Sekiranya satu keluarga mempunyai ramai anak perempuan dan yang muda berkahwin dahulu dari kakaknya maka kakak itu diberi "KOTOLIBAN" seperti berikut:

Dundung/sigar
Sira/baju
Gonob/sarung
Cincin emas sebentuk

Perbelanjaan Kahwin

Perbelanjaan perkahwinan diputuskan dalam perundingan permintaan waktu bertunang segala perbelanjaan mengikut persetujuan samaada perkahwinan dilangsung secara penuh istiadat ataupun secara sederhana, jika pihak perempuan dari golongan orang berkemampuan maka keluarganya memotong seekor kerbau sebagai menambah kerbau pemberian, keluarganya memotong seekor kerbau sebagai menambah kerbau pemberian ini dipanggil "BALUN" perbelanjaan perkahwinan tersebut ialah:

Seekor kerbau besar "RINAMPUNG"
Satu pikul babi
Gelang emas atau rantai emas
Inapung RM500.00 (lima ratus ringgit)
Wang Belanja dapur wang hangus mengikut keadaan upacara perkahwinan

Perkahwinan

Perkahwinan dengan penuh istiadat bagi orang Kadazan Tatana yang beragama Katholic dan pagan adalah berbeza daripada adat "MOGINUM KAHWIN".

"MOGINUM KAHWIN" dinamakan "BEMASAK" mereka menyediakan
KOLUPIS" dan berbagai macam jenis makanan termasuk memotong kerbau "RINAMPUNG" serta memasak sebahagian dari daging kerbau untuk dihidang pada malam moginum.

Surat Kahwin

Oleh kerana berbagai kemanuan yang ada sekarang maka dalam hal surat kahwin adalah dibuat dihadapan pendaftaran perkahwinan. Selain dari itu surat kahwin boleh diatur dan dibuat dalam perkahwinan dikampung, asalkan ketua kampung dan pihak berkenaan ada hadir menyaksikan upacara perkahwinan itu. Mereka boleh menjadi saksi apabila mendaftar perkahwinan tersebut di pendaftar perkahwinan.

Suami Meninggal

Sekiranya suami meninggal dunia dan berian habis dijelaskan, pihak waris perempuan tidak boleh menuntut balik apapun waris kerana belum ada pencarian mereka berdua.

Jika berian belum habis dijelaskan maka bakinya tidak boleh dituntut oleh pihak waris perempuan.

Isteri Meninggal

Sekiranya isteri meninggal sebarang berian tidak boleh dituntut balik oleh pihak lelaki walaupun belum mempunyai anak.

Kalau mereka mempunyai anak, maka pencarian mereka berdua adalah hak dan dituntut oleh anak mereka. jika anak mereka masih kecil maka si isteri yang menuntut bagi pihak anak mereka.

Kahwin Nialap

"NIALAP" adalah bererti seorang lelaki dan perempuan, atas suka sama suka berikutan pulang untuk tujuan berkumpul sebagai suami isteri tanpa bertunang. Mereka dikahwinkan dengan cepat dan ringkas. perbelanjaan seperti berikut:

Seekor kerbau
Seekor babi
Perbelanjaan untuk dapur yang sederhana.
Kahwin Inuli
Kahwin "INULI" adalah silelaki pulang ke rumah siperempuan samada dia diterima atau tidak terpulang kepada siperempuan untuk mengambil keputusan.

Adat Basal

Adat "BASAL" adalah satu adat yang mempunyai tujuan untuk kebaikan dan kebersihan daerah/negeri. Perkara ini dilangsungkan secara besar-besaran. Ini memakan masa seminggu dan menggunakan sangat besar belanja. Apabila ada perkara ganjil berlaku di daerah/negeri, hujan pun tidak tentu serta buah-buahan dan tanaman tidak sempurna maka daerah/negeri itu perlu dibersihkan, supaya hidup manusia bersih dan sekeliling alam pun bersih. Keadaan kampung dalam negeri/daerah itupun aman dan damai. Tujuan adat basal adalah untuk memulihkan rezeki rakyat, kedamaian/keamanan seluruh masyarakat.

Bagunan tempat basal diadakan adalah tujuh bersambung dengan bendera didirikan. Ketuanya adalah ketua kampung dibantu oleh bomoh-bomoh dan orang ramai, seterusnya untuk membuat begitu banyak tugas untuk persediaan. Ketua kampung berhubung serta mengutip derma dari satu-satu kampung dan dibantu oleh Mahkamah Anak Negeri.

Perbelanjaan untuk pesta tujuh hari itu:

Beras untuk tapai dan nasi pulut - 10 karung
Kerbau tujuh ekor
Kambing seekor warna hitam
Ayam hitam sunsang buluh seekor
Kunyit untuk mewarnakan beras kuning
Kain putih tujuh ela untuk dibuat bendera
Kayu cempadak
Sebatang pokok pinang
Kelapa tua untuk membuat nasi puluh dan santan daging kerbau.
Pasangan gongs untuk digunakan ialah:

1 pasang sipir (taas)
1 gendang

Sumber : Perayaan Pesta Rumbia Ke VII Daerah Kuala Penyu Bertempat di Pantai Sawangan 29 Julai 1996. ms.28-31